“ENCIK keluar sini, masuk kanan ada papan
tanda ‘Vientiane Jamia
Masjid’, ikut kiri tanda
arahnya, encik akan jumpa masjid.” Kata Ali. tuan punya ‘Ali Restaurant’ dekat pusat bandar Viantiane, bila saya
tanya di mana masjid.
Di kota Viantiane (baca viencen) ada 2 masjid,
tak lebih dari 400 orang Muslim disini. Masjid Jamik atau yang lebih populer
dengan masjid Pakistan, di situlah tempat umat Islam yang kebanyakan dari
kedutaan negara luar sholat Jumaat. Dikatakan imamnya sudah 40 tahun menjadi
Imam di masjid ini. Beliau berasal dari India, kembali setahun sekali ke India
kerana keluarganya masih tinggal di India. Di masjid ini, di tingkat bawahnya
ada madrasah untuk anak-anak Muslim yang kebanyakan dari India, Pakistan, Kasmir
dan Bangladesh. Masjid ini terletak hampir di tengah kota Viantiane, dekat air
pancut City Center.
Masjid ini juga menjadi pusat komuniti Islam.
Ketuanya dipilih jamaah disana 3 tahun sekali. Beberapa pengusaha restoran di
Viantiane menjadi pengurus jamiah, kebanyakan pengelola restoran rumah makanan
halal adalah warga pendatang. Ada Nazim Restourant, Tajmahal Restourant, dan
Fatimah Restourant. Banyak juga orang asing bukan Islam yang makan di restoran
halal tersebut, sehingga tak heran meskipun tertulis ‘halal food’ tetapi mereka tetap juga menyediakan
wine, beer dan wiskey, yang jelas haramnya menurut syariat Islam.
Viantiane adalah ibukota negara Lao atau Laos,
menggunakan bahasa resmi Laos. Pemerintahan Presiden dan Perdana Menteri, bagi
negara komunis Choummaly Sayasone Bouasone Bouphavanh. Merdeka dari Perancis
pada 19 Julai 1949. Republik Demokratik Rakyat Laos adalah negara yang terkurung
di daratan Asia Tenggara, berbatasan dengan Myanmar dan Republik Rakyat China di
sebelah barat laut, Vietnam di timur, Kemboja di selatan, dan Thailand di
sebelah barat. Dari abad ke 14 hingga 18 disebut Lan Xang atau ‘Negeri Seribu Gajah’.
Awal sejarah Laos, didominasi oleh Kerajaan
Nanzhao, diteruskan pada abad 14 oleh kerajaan lokal Lan Xang hingga abad ke 18,
setelah Thai menguasainya. Kemudian Perancis menguasainya pada abad ke 19 dan
bergabung dalam Indochina Perancis pada tahun 1893. Selepas penjajahan Jepun
selama Perang Dunia ke II, negara ini merdeka dengan nama Kerajaan Laos di bawah
pemerintahan Raja Sisavang Vong. Kegoncangan politik di negara tetangganya
Vietnam, membuat Laos menghadapi Perang Indochina ke 2 (disebut juga Perang
Rahsia) yang lebih besar, antara penyebab ketidakstabilan negaranya hingga
terjadi perang saudara dan beberapa kali rampas kuasa (kudeta).
Pada 1975 kaum komunis Pathet Lao yang
didalangi Soviet Union dan komunis Vietnam berjaya menendang pemerintahan Raja
Savang Vatthana sokongan Amerika Syarikat dan Perancis. Setelah mengambil alih
negara ini, mereka mengganti namanya menjadi Republik Demokratik Rakyat Laos
yang masih berdiri hingga kini. Laos mempererat hubungannya dengan Vietnam dan
mengendurkan larangan ekonominya pada akhir dekad 1980 dan masuk ASEAN pada
1997. Jika dilihat dari sudut politiknya pula, satu-satunya parti politik yang
diakui di Laos adalah Parti Revolusioner Rakyat Laos (LPRP).
Ketua negaranya adalah seorang presiden yang
ditentukan oleh parlimen untuk masa jabatan 5 tahun. Ketua pemerintahnya adalah
seorang Perdana Menteri yang ditunjuk oleh Presiden dengan persetujuan dari
parlimen. Perlaksanaan pemerintahan ditentukan oleh partai melalui 9 anggota
yang sangat berkuasa dan 49 anggota Komite Pusat. Keputusan pemerintah yang
penting ditentukan Dewan Menteri. Laos mempunyai perlembagaan baru sejak 1991.
Akhirnya diadakan pilihanraya umum. Begitulah politik negaranya..
kira-kira.
Berbalik mengenai masjid di dalam negara
komunis seperti yang disebutkan. Ada satu lagi masjid di sini, iaitu kira-kira 3
Km dari pusat bandar, tapi saya tak sempat pergi. Saya sholat Magrib-Isyak
(Qasar & Jamak) di sini. Ada kira-kira 10 orang sembahyang berjamaah.
Rata-rata berpakaian serba putih, berjanggut lebat dan panjang, macam orang
keturunan dari benua India. Lepas sholat, mereka berhenti sejenak,
ber’ta’alim’, sesaorang berceramah dikelilingi dan
didengari oleh yang lain. Itulah gaya dakwah dari kumpulan Jamaah Tabligh., pada
hemat saya. Di Malaysia pun ada. Kalau di Malaysia mereka berpusat di Desa
Petaling sekarang, sebelumnya di Masjid India KL.
Di negara-negara orang Islam Kumpulan Jamaah
Tabligh kurang mendapat tempat istimewa. Ada yang mengkritik mereka hanya
menumpukan ke arah ‘ibadat
khusus’ sahaja. Tidak
perduli siapa yang memerintah dan ‘ibadat-ibadat umum’ yang lain. Menekankan dakwah atau ‘keluar bertabligh’ dengan gaya tersendiri menentukan
sasaran jumlah hari. Walau apapun tanggapan, mereka berjaya menorobos masuk
berdakwah di dalam negara-negara bukan Islam. Tak perlu kita bising-bising,
masing-masing bekerja kerana Allah mengikut kemampuan masing-masing. Yang hanya
mampu jalan kaki, jalan kakilah! Yang mampu naik flight, naik flightlah! Banyak
bertengkar, takut semuanya tak jadi kerja. Dalam sebuah kitab ada di sebutkan,
pemimpin Jamaah Tabligh, Maulana Elias pernah menyeru pengikutnya supaya
melaksanakan Islam secara syumul. Di Laos, nampaknya puak-puak tabligh ini
berjaya menghidupkan Islam. Al-hamdulillah.
Mengenai saya pula, ramai yang e-mail bertanya
khabar. Sihat Al-hamdulillah. Cuma malangnya saya sendiri sekarang terbantut
perjalanan di sini kerana beberapa sebab…
1… Kerana bajet lari, se waktu melintasi
sempadan melalui jalan darat banyak guna wang di luar jangkaan. 2… Menjelang
tahun baru, sering berlaku kehabisan tiket-tiket dan bilik sewa murah.
Menyebabkan perjalanan tertunda dan kos perbelanjaan meningkat.
3… Mata wang Vietnam yang saya tukar
berlebihan tidak dapat ditukar kembali di Laos, menyebabkan saya terpaksa simpan
dan tidak boleh digunakan.
4… Bajet guna internet meningkat di luar
jangkaan. Di China agak murah, tapi di Vietnam dan Laos mahal sikit.
Hal ini menyebabkan saya seolah-olah sesak
nafas, kerana kos perbelanjaan yang tersedia cuma ‘cukup-cukup makan’ saja. Teringat kepada kata kawan saya
sewaktu nak memulakan mana-mana perjalanan, “Bawa duit biar banyak, kalau takdak
duit jangan jalan!”
“Nak tunggu banyak duit… bila nak berjalan?
Kerana saya selalu tak cukup duit.” Jawab saya.
Teringat saya lagi kepada kata-kata
Allahyarham Ustaz Abu Bakar Hamzah bekas pemimpin awalan PAS yang mengembara
dari sebuah negara ke sebuah negara hingga ke Eropah. Beliau akhirnya berjaya
sambung pelajaran di sebuah universiti di sana, walaupun kurang wang dan
terpaksa ambil upah cuci pinggan di restoran menurutnya, seperti yang
diceritakan kapada saya sendiri.
“Kalau ada wang pergi, pergilah! Jangan fikir
wang balik. Wang balik mesti ada, dengan izin Allah!” Nasihatnya pada saya, bila
saya tanya pandangan dan penglamannya tentang tiada wang untuk bermusafir. Hal
ini mengingatkan lagi kisah seorang sahabat Nabi yang bernama Abu Zar
Al-Ghifari, beliau tidak pernah memikirkan tentang harta dan bekalannya untuk
besok.. Berapa yang ada, belanjakan! Begitu juga dengan sifat dermawan ibu
Abdullah bin Zubair, iaitu Asma binti Abu Bakar, anak Khalifah Islam yang
pertama. Mungkinkah sama dengan seorang lagi kawan saya yang beristeri ramai,
bila ditanya mengenai pengalaman dan nasihatnya kepada bakal suami-suami yang
nak berpoligami… “Kalau kamu nak kahwin, kawinlah kerana Allah! Dua, tiga atau
empat… Jangan risau apa kata isteri tua atau orang lain, kerana semuanya mesti
ada jalan selesai yang baik akhirnya. Kahwin dulu, selesaikan kemudian!” Katanya
sebagai jalan selesai. Sekian untuk kali ini.