Bismillahirohmanirrohim.Im Namen Allahs, des
Allarbarmers, des Barmherzigen.
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku
dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah
dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan:
Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku
dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (Yusuf
12:108)”
Assalamu’alaykum warahmatullahi
wabarakatuh,
Kehadapan syura dan rakan-rakan seusaha semoga
sentiasa dirahmati dan dilindungi Allah Ta’ala.
Alhamdulillah, sekarang telah hampir 2 bulan
kami dalam perjalanan membuat usaha atas iman serta mencari keredhaan Allah
Ta’ala.
Alhamdulillah, kami bersyukur kehadrat Illahi
kesemua kami dalam keadaan sihat wal’afiat, juga satu hati dan bertambah keakraban serta kasih
sayang.
Lapuran kami teruskan di Sehid Samil Masjid,
Reutlingen. Sebelum ini tiada jemaah yang pernah buat usaha di masjid ini kerana
mereka tidak membenarkan beriktikaf dalam masjid. Alhamdulillah, dengan fikir
risau dan usaha karkun tempatan, kami adalah jemaah pertama yang dibenarkan
beriktikaf. Walaupun masjid ini dikenali sebagai masjid Turki, tetapi 3 orang
karkun tempatan dari Habsyah, AlJaazair dan Pakistan telah berusaha memecahkan
benteng pemisahan antara keturunan dengan baik dan penuh hikmah. Natijahnya,
masha’Allah, sambutan
penduduk tempatan adalah sangat baik dan mereka sangat senang dengan kedatangan
kami.
Di masjid ini kami banyak belajar bagaimana
bergaul dengan masyarakat Islam Turki di Germany. Subhanallah, mereka pada
zahirnya nampak kasar dan tidak mesra tetapi ikhtilat dan ikram membuka lebar
ruang kemesraan dan kasih sayang. Di masjid ini kami dilayan dan dijamu
seolah-olah kami adalah satu rombongan orang-orang kenamaan dari Malaysia. Jelas
terbayang erti memuliakan tetamu dan ikram muslimin, sehinggakan ianya
menampakkan betapa kekurangannya layanan kami terhadap saudara-saudara kami yang
bergerak dalam jemaah-jemaah dakwah dan tabligh yang pernah mengunjungi masjid
dan surau di tempat kami. Semoga Allah Ta’ala ambil kerja agama dari mereka semua kerana mereka lebih layak
dari kami. Perjumpaan dan perpisahan sentiasa dengan pelukan mesra dan senyuman.
Malah mereka menunjukkan kesukaan mereka kepada jemaah kami sehinggakan kami
tidak tahu apa reaksi kami apabila mereka mengambil foto-foto kami dalam masjid
sewaktu bayan!
“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah
serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam) dan orang-orang (Ansar)
yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang
berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya.
Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.” (Al-Anfaal
8:74)
Route kami seterusnya adalah Albstadt, satu
bandar kecil di selatan Germany berhampiran sempadan Switzerland. Beberapa orang
pelajar Malaysia belajar dan buat usaha agama di sini. Rata-rata pelajar
Malaysia yang belajar di Germany ini dikenali oleh orang Islam tempatan sebagai
pemuda-pemuda yang soleh dan penggerak usaha agama. Mungkin inilah yang
dimaksudkan oleh Maulana Ilyas rahmatullah alayh bahawa bukanlah maksud usaha
agama ini semata-mata untuk melahirkan para hafiz dan para alim tetapi untuk
melahirkan masyarakat “dindar” (yang soleh dan bertaqwa). Jelas, pelajar-pelajar
Malaysia, khususnya yang telah didedahkan dengan usaha dakwah dan tabligh
sebelum datang ke sini, telah menjadi penggerak dan pembantu kepada usaha agama
di Germany. Walaupun di tempat yang telah maju usaha agama seperti di United
Kingdom, pelajar-pelajar Malaysia telah lama menjadi penggerak kepada usaha
agama di sana, tetapi kebanyakan mereka adalah daripada kalangan post graduate,
manakala di German mereka terdiri daripada pemuda-pemuda daripada kalangan
undergraduate. Dalam usia semuda mereka, mereka telah berjaya menambat hati
masyarakat Islam tempatan. Mereka bahkan menjadi muazin dan imam-imam di
masjid-masjid makami mereka. Semoga Allah Ta’ala meningkatkan fikir dan usaha
rakan-rakan kami yang telah mengambil tanggungjawab atas usaha agama
pelajar-pelajar di IPTA/IPTS, khususnya pelajar-pelajar yang sedang mengikuti
kursus persediaan ke luar negara. Sesungguhnya usaha atas pelajar-pelajar
tersebut telah menjadi asbab hidayat ke seluruh alam dan akan terus menjadi
asbab hidayat atas hati-hati manusia di seluruh dunia, insya’ Allah.
“Dan orang-orang yang berusaha dengan
bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan
memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta
beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah
berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Al-Ankabuut
29:69)
Di Switzerland, kami buat usaha dari Masjid
Madni, Weinbergstrasse 147, Zurich, Schweiss. Switzerland bukanlah termasuk
dalam route takaza kami dari KL, tetapi beberapa orang rakan seusaha dari
Malaysia telah memaklumkam kepada orang-orang tanggungjawab Germany supaya kami
di hantar ke sana selama beberapa hari. Ada dua orang rakan seusaha dari
Malaysia di Swiss, seorang telah menetap 16 tahun di sana dan seorang lagi
bekerja di Sauber-Petronas Zurich. Kami juga dinusrah oleh seorang rakan seusaha
berbangsa Itali yang fasih bercakap Kelantan. Masya Allah, beliau mendapat
hidayat sewaktu beliau melancong ke Kelantan dan buat usaha agama di Kelantan
selama 4 tahun sebelum berhijrah ke Switzerland. Beliau sangat serasi menjadi
mutarjim jemaah kami kerana beliau hanya boleh bertutur dalam loghat
Kelantan.
Kami buat usaha di Zurich hanya selama 4 hari.
Dari sana kami dapat sedikit karguzari tentang usaha agama di Swizerland. Usaha
agama di Switzerland bermula sekitar awal 1970an. Jemaah pertama yang sampai ke
Swizerland adalah jemaah dari Pakistan. Mereka telah memulakan usaha di
Swizerland dalam keadaan payah dan penuh mujahadah. Oleh kerana hampir tiada
masjid di Swizerland pada masa itu, mereka telah tidur berhamparkan salji.
Berkat susah payah mereka dan usaha agama yang mulai berputik di Swizerland,
sekarang telah ada 120 buah masjid di seluruh Schweiss. Di kawasan Zurich sahaja
ada 30 buah masjid, 15 buah masjid dalam pusat bandar, dan daripadanya 6 masjid
ada amalan makami. Satu gereja telah diubah menjadi masjid di Zurich.
“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama
Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu
menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu)
mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah
perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-An’aam 6:153)
Kami dapat karguzari bahawa sebelum usaha
agama berkembang di Switzerland, masyarakat Islam di sana amat dibenci oleh
masyarakat tempatan kerana keadaan akhlak mereka yang tercela dan terlibat dalam
berbagai kegiatan maksiat dan jenayah serta dianggap sebagai sampah masyarakat.
Ada diantara mereka yang sanggup bekerja di gereja-gereja membunyikan
loceng-loceng kebathilan. Alhamdulillah, keadaan hidup mereka telah berubah
dengan berkembangnya usaha agama di Swizerland, walaupun masih tidak secara
total. Masalah utama mereka adalah kesan suasana sekitaran yang menjadi musuh
utama kepada iman. Sewaktu kami di sana, orang-orang Swiss yang bertuhankan
keduniaan sedang menganjurkan pesta lucah jalanan Zurich Street Festival.
Alhamdulillah, Allah Ta’ala
masih melindungi sebahagian hamba-hambaNya dengan RahmatNya dengan asbab usaha
agama.Di Zurich juga kami mengunjungi seorang lelaki Melayu yang berkahwin
dengan wanita Swiss dan membuka perniagaan restoran di Zurich dengan menjual
minuman keras dan menghidangkan masakan khinzir. Sewaktu jumpa beliau di
restorannya, kami tasykil beliau untuk solat berjemaah dan bersama dengan kami
tetapi beliau tidak bersedia untuk beri masa. Amat sedih keadaan hidup yang
beliau alami dibawah kongkongan isterinya. Semoga Allah Ta’ala selamatkan iman beliau.
“Sesungguhnya tanggungan Kamilah memberi
hidayat petunjuk (tentang yang benar dan yang salah).” (Al-Layl
92:12)
Usaha agama di Switzerland adalah di bawah
tanggungjawab dan pengawasan France. Setiap awal bulan pada minggu pertama,
mereka bermesywarah di France dengan orang-orang tanggungjawab di sana. 2 bulan
sekali rakan-rakan seusaha seluruh Switzerland bermesywarah di Masjid Madni di
Zurich. Sebagaimana di Germany, usaha agama di Switzerland adalah secara
terbuka. Tiada masaalah untuk buat umumi ghast. Cuma kehadiran kami sentiasa
menjadi perhatian masyarakat kerana ketrampilan dan cara berpakaian kami berbeza
daripada mereka. Sewaktu kami buat umumi ghast di tengah-tengah bandar,
tiba-tiba datang seorang wanita cuba memberikan kami sekuntum bunga. Masya
Allah, terkejutnya kami waktu itu tak tahu apa nak buat, cuma berjalan terus
dengan merendahkan pandangan mata.
Seterusnya kami kembali ke Ulm, Germany dimana
kami buat usaha di Masjid Arabische Zentrum, Zeppelinstrasse 35, Ulm. Kami
dimaklumkan bahawa jemaah Malaysia pertama juga buat usaha di masjid ini tahun
lepas. Alhamdulillah, berkat daripada pengorbanan mereka dan usaha rakan-rakan
seusaha tempatan, di masjid ini hidup 5 amal. Usaha agama di sini rata-rata
dijalankan oleh pemuda-pemuda Arab dan Turki serta pemuda-pemuda German yang
baru masuk Islam. Di masjid ini 10 orang pemuda German telah masuk Islam dalam
jangka masa 10 bulan yang lalu dan kebanyakan mereka buat usaha agama. Beberapa
orang diantara mereka sedang belajar bahasa Arab di Mesir. Beberapa orang keluar
40 hari, 10 hari dan 3 hari dari masjid ini.Kemudian jemaah kami singgah di
Masjid Salahuddin, Frauentorstrasse 10, Augsburg. Terdapat 15 buah masjid di
Augsburg. Alhamdulillah, di sini kami dapat nusrah daripada seorang hafiz dan
alim, Maulana Mustaffa Islam, berketurunan Turki yang belajar di Raiwind selama
9 tahun. Hanya di masjidnya (Islamische Gemeinschaft Milli Gorus, Boschstrasse
61-65, Augsburg) ada amal makami tetapi tidak dibenarkan i’tikaf. (Sebelum kami terlupa, Maulana
Mustaffa kirim salam pada Hafiz Umar, dan semua maulana-maulana di Markaz Sri
Petaling yang pernah belajar bersamanya di Raiwind dulu).
Di Augsburg juga kami buat usaha atas
pelajar-pelajar tajaan MARA berpusat di German Malaysia Institute (GMI), Kuala
Lumpur. Alhamdulillah, mereka ini telah melapangkan masa bersama kami selama 3
hari dan beberapa orang daripada mereka telah keluar 3 hari bersama rakan-rakan
seusaha tempatan. Rata-rata mereka telah mengenali usaha agama semasa mereka
belajar di GMI.
Perjalanan kami diteruskan ke M? (Munich).
Oleh kerana M? adalah antara kota terbesar di German dan pusat perindustrian dan
ramai penduduk Islam dan banyak pula masjid, kami telah buat usaha di sini
selama 11 hari berpusat dari Masjid-ul Ummah, Tagetesstrasse 6; Masjid Salih
Sanli, Carl-Wery-strasse 60; dan Masjid Omar, Bergmannstrasse 10, Munchen.
Masjid-ul Ummah ialah tempat tumpuan usaha agama di Munchen dan Sheikh Abdul
Wahid sab, jemaah tasykil German juga bermakami di sini. Kami telah targheeb
pelajar-pelajar Indonesia sekitar 12 orang kepada usaha agama di Masjid Omar
yang rata-rata mereka tidak pernah mendengar mengenai usaha atas iman dan amal.
Kami juga telah bentuk 2 atau 3 jemaah untuk buat ghast di penginapan
pelajar-pelajar universiti, di penginapan suaka politik, serta penginapan
awam.
Seterusnya kami buat usaha selama 3 hari di
Masjid Ar-Rahman, Hemauerstrasse 20, Regensburg, tidak jauh dari sempadan Checz
Republic. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Nurnberg. Dalam perjalanan ke
N?g kenderaan-kenderaan kami ditahan oleh polis setelah diikuti beberapa lama.
Alhamdulillah, mereka membenarkan kami meneruskan perjalanan setelah mereka
memeriksa passport dan beg-beg kami. Semasa diperiksa kami bersolah maghrib
ditepi jalan. Seorang rakan seusaha tempatan keturunan Bosnia yang nusrah kami
telah mendakwahkan anggota-anggota polis berkenaan kepada Islam. Sebenarnya ini
adalah kali ketiga kami ditahan oleh polis German. Perkara ini kami anggap
sebagai satu perkara biasa apatah lagi dengan salah tanggapan orang-orang bukan
Islam terhadap orang-orang Islam dewasa ini. Apa yang jelas, mereka ini adalah
masyarakat yang jiwa mereka diselubungi ketakutan, seperti seorang yang naik
keretapi kelas satu tetapi tidak memiliki tiket.“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai
Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan
berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik;
sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari
jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat
hidayat petunjuk.” (An-Nahl 16:125)
Di N?g, kami buat usaha di Masjid Bilal,
Zufurhstrasse 8. Dua tahu dahulu masjid ini hidup 5 amalan masjid tetapi
sekarang solah fardhu pun tidak lagi dikerjakan dengan berjemaah. Di atas rak
buku masih tersusun beberapa kitab Fadhail Amal dari berbagai bahasa. Usaha kami
di sini ditumpukan terhadap menghidupkan kembali amalan masjid. Setelah kami
khususi beberapa rakan seusaha, ramai lah ahli jemaah masjid dapat dikumpulkan
dan diberi targheeb untuk menghidupkan kembali amalan masjid. Alhamdulillah,
suasana masjid kembali hidup dan jelas terbayang harapan pada wajah-wajah
mereka. Mereka bersama-sama bergandingan dengan kami buat umumi ghast dan
memulakan semula taklim masjid. Jemaah 3 hari dibentuk untuk keluar pada bulan
ini. Allah Ta’ala juga
mempermudahkan usaha kami kerana mereka telah mengenali rapat seorang pelajar
Malaysia yang diberi tanggungjawab untuk menghidupkan kembali usaha agama di
masjid ini. Beberapa orang rakan seusaha dari Erlangen, satu bandar berdekatan
juga datang untuk membantu usaha agama di sini. Mereka akan terus buat intikali
(ghast kedua) di Masjid Bilal ini.“Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan
yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya
(pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk
oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.” (Az-Zumar 39:18)
Alhamdulillah, di masjid ini juga kami
mengumpulkan pelajar-pelajar Malaysia baru dan lama dan memberi targheeb
terhadap kepentingan usaha agama bagi pelajar-pelajar. 22 orang pelajar-pelajar
MARA baru tiba di N?g sehari sebelum ketibaan kami.
Kemudia kami buat usaha di Masjid Turkische di
Pappenheim dalam kawasan Eichstatt, lebih kurang 70km dari N?g. Mashaallah, di
kawasan ini usaha agama begitu maju dikalangan masyarakat Turki. 10 orang telah
keluar 4 bulan ke IPB, 4 orang telah keluar jemmah masturat 40 hari ke Pakistan,
dan ramai karkun 40 hari serta 3 hari. Mereka ini rata-ratanya pekerja kuari
batu marmar yang di katakan paling bermutu di dunia. Mereka bekerja 8 bulan dan
cuti 4 bulan setahun pada musim sejuk. Di kawasan kuari tempat mereka bekerja
hidup solah berjemaah dan taklim harian. Ada tempat khas untuk mereka bersolah
berjemaah. Selain Berlin, kawasan ini adalah kawasan yang paling maju usaha
agama di Germany. Mereka keluarkan 3 jemaah 3 hari setiap bulan. Rakan-rakan
seuasaha di sini berazam untuk keluar 40 hari ke Malaysia secepat mungkin.Esok
kami akan ke Frankfurt semula kerana jemaah kami diputuskan untuk menghadiri
satu jord karkun lama di Masjid Pak Muhammadi. Khabarnya jord ini akan dihadiri
oleh Maulana Ibrahim Gujrati dan beberapa orang lama dari India. Setakat ini
sahaja lapuran kami.InshaAllah, kami akan berikan laporan terakhir perjalanan
kami semasa di Holland nanti.
Nikmat kehidupan (atau kesihatan) dan nikmat
harta benda setiap seorang Muslim adalah milik Allah, yang mana Allah
Ta’ala telah beli
kedua-duanya dengan nilai syurga.
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari
orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan
(balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada
jalan Allah maka (diantara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan
Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah
di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang
lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan
jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli
(yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” (At-Taubah 9:111)
Rasulullah sallalaahu alayhi wasallam hat uns
seit lang verlassen. Aber die Verantwortung f?n ist meine Arbeit, und Arbeit von
den ganzen Menschen.Wassalamu’alaykum warahmatullahi wabarakatuh
Copyright © 2011, Allah Kuasa Makhluk Tak
Kuasa