Seruan Hadratji Maulana Muhammad Yusuf rah.a.
Kepada Seluruh Umat Islam
Seruan Al-'Allamah Ad-Da'iyah Al-Muhaddith
Asy-Syaikh Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi kepada orang-orang Islam. Dipetik
daripada "Perasaan Umat: Seruan Hadratji Maulana Muhammad Yusof rah.a. Kepada
Seluruh Umat Islam" terbitan MN Mayun Enterprise, 2002, Kota Bharu, Kelantan.
Boleh juga memuat turun versi English terjemahan Dr. Shamim Ahmad.
[Tiga hari sebelum Hadrat Syaikh meninggal
dunia, yakni pada 29 hb Zulqaedah, 1384H bersamaan 2hb April, 1965M; hari selasa
selepas solat Subuh; Hadrat Syaikh telah memberi satu ceramah terpenting yang
terakhir dalam kehidupan beliau. Selepas Hamd (memanjat pujian kepada Allah) dan
selawat, berlawanan dengan kebiasaan, Hadrat Syaikh telah mulai berceramah
seperti berikut:]
Lihatlah, saya tidak seberapa sihat. Sepanjang
malam saya terpaksa berjaga kerana tidak boleh tidur. Namun demikian saya
terpaksa berkata sebab perkara ini adalah amat penting. Siapa pun yang
memahaminya dan mengamalkannya maka Allah Taala akan meninggikannya dan
memberikan kejayaan. Jika tidak, maka dia akan melumpuhkan kakinya
sendiri.
Umat ini telah terbentuk dengan penuh susah
payah. Untuk menjadikan umat ini, Rasulullah saw. dan Sahabat-Sahabat r.anhum
telah banyak berusaha dan menanggung penderitaan. Musuh-musuh Islam yakni Yahudi
dan Nasrani telah sentiasa berusaha supaya orang-orang Islam tidak ada sebagai
satu umat, bahkan berpecah belah.
Hari ini orang-orang Islam sudah kehilangan
sifat umat. Ketika dahulu, semasa mereka hidup sebagai satu umat, hanya dengan
bilangan mereka beratus ribu orang sudah cukup untuk menguasai satu dunia.
Mereka pada masa itu tidak mempunyai sesuatu. walaupun sebuah rumah dari batu
bata. Masjid pun tidak dibina dengan batu bata. Lampu pun tidak dinyalakan di
dalam masjid. Lampu telah dinyalakan di dalam Masjid Nabawi hanya selepas
sembilan tahun sesudah Hijrah.
Sementara itu, kira-kira seluruh kaum Arab
telah memeluk agama Islam. Manusia dari pelbagai kaum, yang bercakap dalam
berbagai-bagai bahasa, dan dari berbagai-bagai kabilah telah menjadi satu umat
yang bersatu-padu. Apabila kesemua perkara telah diselesaikan, maka barulah
lampu telah dinyalakan di dalam Masjid Nabawi. Tetapi cahaya dari lampu hidayat
telah dibawa oleh Baginda Rasulullah saw. sudah tersebar ke seluruh tanah Arab,
bahkan ke kawasan-kawasan di luar daripadanya juga. Umat sudah terbentuk.
Selepas itu umat telah bangun dan ke mana saja mereka tuju, maka negara demi
negara telah jatuh di bawah kaki mereka.
Umat ini telah dibentuk secara begini; iaitu,
tidak seorang pun di kalangan umat ini menjadi pembantu kepada keluarganya,
bangsanya, saudara-maranya, kaumnya, tanahnya; tidak seorang pun yang menjadikan
tujuannya mengawasi harta-benda atau anak-isteri; tetapi setiap seorang di
kalangan mereka hanya melihat apakah kehendak Allah dan RasulNya. Pada zaman
orang-orang Islam hidup sebagai satu umat, di mana-mana pun jika seorang Islam
dibunuh, maka seluruh umat telah terkesan, bersimpati dan merasai kepedihan.
Kini beribu-ribu dan berjuta-juta orang Islam telah disembelih tetapi kita tidak
merasai apa-apa jua.
Umat bukanlah nama satu kaum atau satu
golongan manusia yang bermukim di satu kawasan. Tetapi beratus-ratus bahkan
beribu-beribu kaum yang tinggal di kawasan yang berlainan bersatu-padu menjadi
satu umat. Sesiapa yang menganggap bahawa dia berasal daripada sesuatu kaum atau
sesuatu daerah, dan orang lain berasal daripada sesuatu kaum atau sesuatu daerah
yang lain, maka dia seolah-olah telah menyembelih umat ini, menghancur-leburkan
serta merosakkan hasil usaha baginda Rasulullah saw. dan para Sahabat r.anhum.
Apabila terpisah-pisah dan berpecah-belah, kita sendiri telah menyembelih umat
ini terlebih dahulu. Yahudi dan Nasrani hanya mengerat umat ini yang sudah
tersembelih. Sekiranya orang-orang Islam, hari ini menjadi umat seperti sedia
kala, maka semua kekuatan di seluruh dunia sekalipun, tidak boleh menggerakkan
walaupun sehelai bulu roma umat ini. Bom atom atau pun roket sekalipun, tidak
boleh membinasakan mereka. Tetapi sekiranya mereka dengan semangat perkauman dan
kedaerahan meneruskan fahaman menghancur-leburkan umat, maka demi Allah,
senjata-senjata dan tentera-tentera kamu tidak boleh selamatkan kamu dari
kemusnahan.
Hari ini orang-orang Islam di seluruh dunia
telah dihimpit dan dibunuh dengan sebab kehilangan perasaan umat. Mereka telah
menyia-nyiakan pengorbanan Baginda Rasulullah saw. Saya berkata tentang perkara
ini dengan kepiluan di dalam hati saya, bahawa satu-satunya sebab semua
kebinasaan dan kemunduran ini adalah kerana umat tidak lagi ada sebagai satu
umat yang bersatu-padu; bahkan mereka telah lupa apa itu UMAT dan bagaimanakah
baginda Rasulullah saw. telah membina umat ini!
"Untuk menjadi umat yang sebenar-benarnya dan
supaya bantuan Allah bersama dengan orang-orang Islam, tidak cukup dengan hanya
di kalangan mereka menghidupkan solat, zikir, madrasah dan kebiasaan mengajar
dan belajar ilmu. Ibnu Muljam yang merupakan pembunuh Hadrat Ali r.a. adalah
seorang yang banyak bersolat dan berzikir. Sehingga apabila orang-orang yang
marah (atas pembunuhan Hadrat Ali r.a.) sebelum membunuhnya cuba memotong
lidahnya, maka dia telah berkata, “Buatlah apa yang kamu mau, tetapi janganlah
memotong lidah saya; dengannya saya boleh berzikir kepada Allah hingga ke akhir
nafas saya dalam kehidupan ini.” Namun begitu Baginda Rasulullah saw. telah
bersabda, “Pembunuh Ali adalah seorang yang paling buruk dan bernasib malang di
kalangan umatku."
Ta’lim dari madrasah telah didapati oleh Abul Fadhal dan Faizi juga.
Ilmu dan kepandaian mereka begitu tinggi sehingga boleh menulis tafsir al-Quran
walaupun dengan huruf yang tidak bertitik. Walhal merekalah yang telah
menyesatkan Akbar [Maharaja India dari keluarga Mughal] dan merosakkan agama
Islam. Jadi, bagaimanakah perkara yang ada pada Ibnu Muljam, Abul Fadhal dan
Faizi boleh mencukupi untuk menjadi umat yang sebenar dan mendapat nusrah
ghaibiah dari Allah Taala.
Hadrat Syah Ismail Syahid rah.a., Hadrat Syed
Ahmad Syahid rah.a., dan rakan-rakan mereka kesemua adalah satu jamaah yang
unggul dan paling baik dari segi keagamaan mereka. Apabila mereka sampai ke
kawasan perbatasan [yakni utara-barat Pakistan yang diduduki oleh kaum Pathan],
orang-orang di sana telah menjadikan mereka pembesar-pembesar mereka. Maka
syaitan telah menimbulkan di dalam hati beberapa orang Islam di sana bahawa,
“Mereka ini orang-orang luar, mengapakah mereka diberi kesempatan untuk
mengetuai kami?” Maka mereka telah mengawali menentang orang-orang Islam yang
teguh mengamalkan agama ini. Beginilah caranya orang-orang Islam menghancurkan
perasan umat oleh sebab kedaerahan mereka. Maka Allah Taala telah memberikan
pembalasan dan penyeksaan dengan memberi kuasa kepada orang-orang Inggeris ke
atas mereka. Ini merupakan azab daripada Allah Taala.
Ingatlah! Bahwa perkataan, kaumku, daerahku,
saudaraku dan yang seumpamanya, semuanya adalah perkataan yang memecahbelahkan
umat! Perkataan dan semangat sebegitu rupa adalah sangat-sangat dibenci oleh
Allah Taala sehingga sedikit kesilapan dari segi ini oleh seorang Sahabat yang
begitu tinggi darjatnya seperti Saad ibnu Ubadah r.a. [yang jika tidak
diberhentikan dengan serta-merta pada masa itu juga, maka akan wujud perpecahan
antara Ansar dan Muhajir] telah dibalas oleh Allah Taala di dunia.
Terdapat riwayat bahawa Saad ibnu Ubadah r.a.
telah dibunuh makhluk jin dan di Madinah telah kedengaran pengumuman seperti
berikut, tetapi tidak kelihatan makhluk yang mengumumkannya:
[Kami telah membunuh ketua kaum Khazraj: Saad
ibnu Ubadah; Kami telah menjadikannya sasaran anak panah kami yang telah
memasuki jantungnya!]
Daripada peristiwa ini didapati suatu contoh
dan pengajaran bahawa walaupun seseorang itu mempunyai serba-serbi kebaikan,
tetapi jika ia melakukan kesalahan dengan menyebabkan perpecahan umat, maka
Allah Taala tetap akan menghancurkannya.
Umat akan menjadi umat yang benar apabila
setiap individu dan golongan di kalangan umat ini tanpa membeza-bezakan,
memegang usaha yang ditinggalkan oleh baginda Rasulullah saw. Dan ingatlah
bahawa perkara yang memusnahkan perasaan umat adalah keburukan dari segi
muamalat dan muasyarat. Apabila satu individu atau satu golongan di kalangan
umat ini menzalimi dan tidak berbuat adil dengan yang lain, tidak menunaikan
hak-haknya, menyakitinya, memperkecilkannya atau menghinanya maka timbullah
perpecahan dan perasaan umat akan hancur. Sebab inilah saya berkata bahawa umat
ini tidak dapat dibentuk dengan hanya kalimah dan tasbih. Umat akan menjadi umat
yang sebenar melalui pengislahan muamalat dan muasyarat, melalui menunaikan
hak-hak semua pihak dan melalui bersifat ikram terhadap sekalian orang. Bahkan
apabila untuk menunaikan hak-hak orang lain, hak-hak sendiri dikorbankan,
barulah umat ini akan dapat dibentuk. Baginda Rasulullah saw, Hadrat Abu Bakar
As-Siddiq r.a dan Hadrat Umar r.a. telah membentuk umat ini dengan cara
mengorbankan kesemua kepunyaan mereka dan menanggung bermacam-macam
kesusahan."
Pada zaman Hadrat Umar r.a. suatu ketika telah
datang berjuta-juta dinar dan dirham dan mesyuarat telah diadakan untuk
membahagi-bahagikannya. Pada masa itu umat sudah dibentuk; yang bermesyuarat itu
bukanlah daripada suatu daerah atau satu kaum atau kabilah saja. Bahkan manusia
daripada pelbagai kaum, kabilah dan daerah berada dalam syura tersebut yang
terkenal sebagai orang-orang khawas dari segi persahabatan dengan Baginda
Rasulullah saw. Melalui mesyuarat, mereka denga sepenuh perhatian telah membuat
keputusan bahawa dalam pembahagian tersebut, yang paling banyak akan diberi
ialah kepada kabilah baginda Rasulullah saw. Kemudian kepada ahli kabilah Hadrat
Abu Bakar r.a. dan selepas itu kabilah Hadrat Umar r.a. Maka dengan keputusan
ini, saudara mara Hadrat Umar r.a. telah mendapat kedudukan yang ketiga. Apabila
keputusan ini telah dikemukakan kepada Hadrat Umar r.a., beliau tidak meluluskan
keputusan tersebut lalu berkata, Apa juga yang diperolehi dan akan diperolehi
oleh umat ini adalah kerana baginda Rasulullah saw. semata-mata. Jadi, dalam
pembagian harta ini, kita akan hanya mempertimbangkan perkaitan hubungan dengan
baginda Rasulullah saw sahaja. Kabilah yang paling dekat dengan baginda akan
mendapat bahagian yang paling besar.
Kemudian yang kedua, yang ketiga, yang
keempat dan seterusnya. Jadi, bahagian yang terbanyak telah diberikan kepada
Bani Hasyim. Kemudian Bani Abd Manaf, anak-anak Qasa, Kalab, Marra dan
seterusnya. Mengikut tertib ini, kabilah Hadrat Umar r.a. sangat jauh
terkebelakang dan bahagian yang diperolehi oleh mereka adalah terlalu sedikit.
Tetapi Hadrat Umar r.a. tetap membuat keputusan ini. Beliau sendiri telah
membelakangkan kabilahnya sendiri dengan pembahagian ini. Dengan cara beginilah
umat ini telah dibentuk!
Untuk membentuk umat, apa yang mustahak ialah
semua orang perlu mencuba supaya kesatuan hadir di kalangan umat dan supaya
tidak timbul perpecahan. Maksud sebuah hadith Baginda Rasulullah saw , “Pada
hari kiamat salah seorang akan dibawa kepada Allah Taala untuk pembalasan.
Semasa hidup di dunia, orang itu telah mendirikan solat, membayar zakat,
berpuasa, mengerjakan haji, bertabligh dan lain-lain amalan yang baik. Tetapi
dia akan diberi penyiksaan. Sebab, satu perkataan yang telah diucapkannya
menyebabkan perpecahan di kalangan umat. Ia akan dihukum, “Rasakanlah penyiksaan
untuk satu perkataan itu yang telah mendatangkan kerugian kepada umat.” Seorang
lagi yang dihadapkan mempunyai mempunyai kekurangan dari segi solat, zakat,
puasa, haji dan lain-lainnya dan dia dalam ketakutan akan azab Allah Taala,
tetapi dia telah diberikan banyak pahala dan balasan baik sehingga dengan penuh
kehairanan, dia sendiri akan bertanya, Untuk amalan saya yang mana satu, saya
dimuliakan begini? Dia akan diberitahu, Pada masa dan keadaan sekian-sekian itu
engkau telah mengucapkan satu perkataan yang telah menghentikan satu pergaduhan
di kalangan umat yang ditahap perpecahan. Pada ketika perpecahan itu, umat telah
kembali bersatu padu disebabkan perkataan kamu itu. Kesemua ini adalah pahala
dan balasan untuk perkataan mu itu.
Di dalam membentuk umat dan juga merosakkan
umat, peranan yang besar telah dimainkan oleh lidah. Lidah boleh menyenangkan
hati orang, boleh juga ia menyakiti dan memecahkan hati. Cukup dengan satu
perkataan salah yang keluar daripada lidah, maka menyebabkan penggunaan tongkat
dan pergaduhan dan peperangan yang sempurna telah wujud. Demikian juga dengan
satu perkataan sahaja boleh mendatangkan perdamaian dan perpaduan; ia boleh
menyatukan hati-hati yang berpecah-belah. Oleh itu, perkara yang paling penting
ialah lidah (percakapan) mesti dikawal supaya tidak disalahgunakan. Perkara ini
hanya akan tercapai apabila seseorang itu sentiasa ada perasaan bahawa Allah ada
bersama di setiap tempat dan juga Dia maha mendengar setiap perkataan yang
diucapkan."
Di Madinah, pada zaman itu, ada dua kabilah
Ansar, iaitu Aus dan Khazraj. Di antara keduanya telah terjadi pergaduhan dan
peperangan sejak ratusan tahun. Apabila Rasulullah saw telah berhijrah dan
sampai ke Madinah, orang-orang Ansar telah dikurniakan Allah dengan Islam.
Maka
dengan berkat Baginda dan Islam, pergaduhan dan peperangan itu telah terhenti
dan Aus dan Khazraj telah hidup dengan aman dan damai. Melihat keadaan itu,
orang-orang Yahudi telah membuat satu perancangan jahat supaya Aus dan Khazraj
bergaduh dan berperang semula. Di dalam satu majlis yang dihadiri oleh
orang-orang dari kedua kabilah tersebut, salah seorang (mengikut perancangan
jahat tersebut) telah menyalakan api (menegangkan keadaan) dengan membaca satu
syair mengenai peperangan mereka yang lama. Maka pada mulanya, mereka bertikam
lidah antara satu sama lain dan akhirnya senjata telah dikeluarkan oleh
kedua-dua pihak. Salah seorang telah segera mengadu kepada Baginda Rasulullah
saw. Baginda saw. dengan serta merta datang ke tempat kejadian, lalu bersabda,
Kamu hendak berperang sesama sendiri, sedangkan aku masih berada di kalangan
kamu? baginda telah berkhutbah dengan ringkas tetapi penuh dengan semangat dan
perasaan susah hati. Mereka telah memahami kesilapan masing-masing. Mereka telah
sedar bahawa syaitan telah memerangkap mereka dengan perancangan jahat.
Kedua-dua belah pihak telah menangis dan memeluk antara satu sama lain. Ayat
suci telah diturunkan oleh Allah Taala:
(Seolah-olah Allah memaksudkan) Wahai
orang-orang yang beriman! Takutilah Allah sepertimana yang harus kamu takuti
kepada-Nya dan sampai ke nafas kamu yang terakhirlah kamu hidup sebagai hamba
yang menyerah diri dan mentaati Allah.
Jadi, apabila manusia sentiasa ingat pada
Allah, takut kepada kemurkaan-Nya dan sentiasa mentaati-Nya, maka syaitan pun
tidak ada kesempatan untuk menyesatkannya dan umat akan terselamat dari semua
pergaduhan dan keburukan yang lain.
(Seolah-olah Allah memaksudkan) Dan
berpeganglah kamu sekalian secara berjemaah dengan tali Allah yakni kitab Allah
dan agama-Nya dengan teguh; yakni dengan sifat IJTIMA’IYYAT yang sempurna serta sifat perasaan
umat, berpegang kepada agama dan berpautlah kepadanya. Jangan menjadi
berpecah-belah atas perkauman atau kedaerahan atau dari segi bahasa. Dan
janganlah melupakan ihsan Allah yang mana Allah Taala telah menghapuskan
permusuhan yang telah berkekalan sesama sendiri di kalangan kamu dan telah
menyatukan hati-hati kamu dan telah menjadikan persaudaraan satu sama lain.
Semasa kamu berperang sesama sendiri, kamu sebenarnya telah menghampiri neraka
sehingga kamu telah hampir jatuh ke dalamnya; Allah Taala telah memegang kamu
dan telah menyelamatkan kamu dari neraka.
Syaitan memang ada bersama kamu. Penyelesaian
masalah ini adalah di tangan kamu. Kamu seharusnya berada di dalam satu golongan
yang tugasnya hanyalah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada keburukan
dan fasad.
Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan
yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh
berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah
(buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang
berjaya. (Surah Al ‘Imran:
104)
Di kalangan umat harus ada satu golongan yang
tugasnya menyeru manusia kepada agama dan segala jenis kebaikan; mereka harus
meneruskan usaha untuk iman, untuk kebaikan dan kebajikan, mereka perlu usaha
atas solat, atas zikir, atas ilmu yang telah di bawa oleh Rasulullah saw. Mereka
juga perlu usaha untuk selamatkan manusia dari keburukan dan segala jenis
maksiat. Melalui usaha sedemikian rupa umat akan berkekalan sebagai umat yang
bersatu-padu.
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang
(Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam ugama
mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata
(yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), dan mereka yang bersifat demikian, akan
beroleh azab seksa yang besar. (Surah Al ‘Imran: 105)
Sesiapa yang selepas menerima kesemua
nasihat-nasihat ini, dan masih meneruskan untuk mengikut jalan syaitan, berjalan
secara berasingan, menimbulkan perlawanan dan merosakkan perasaan dan perpaduan
umat, maka bagi mereka ada penyeksaan yang keras.
Kesemua ajaran dan perkara-perkara dalam agama
mempunyai JORD (kesatuan) dan juga untuk kesatuan dan perpaduan. Di dalam solat
ada Jord, dalam puasa ada Jord. Dalam haji ada Jord bagi pelbagai kaum dan
bangsa dan negara dan manusia yang bercakap dalam berbagai-bagai bahasa. Di
dalam halaqah ta’lim ada
Jord. Sifat ikram (memuliakan) orang-orang Islam dan mencintai orang-orang
Islam, memberi dan menerima hadiah antara satu sama lain, kesemua ini adalah
yang mendatangkan kesatuan dan yang membawa ke syurga. Mereka yang membuat usaha
untuk kesemua amalan ini akan mendapati wajah mereka berseri-seri pada hari
Hisab."
Dan sebaliknya, benci, hasad, dengki,
mengumpat, menghasut, menghinakan orang, mengecilkan hati orang dan menyakiti
hati orang, kesemua ini adalah perbuatan yang menyebabkan perpecahan dan membawa
ke neraka. Mereka yang melakukan perbuatan tersebut akan dihinakan pada hari
Hisab.
(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada
muka (orang-orang) menjadi putih berseri dan ada muka (orang-orang) menjadi
hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan
ditanya secara menempelak): Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman?
Oleh itu rasalah azab seksa Neraka disebabkan kekufuran kamu itu. Adapun
orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah
rahmat Allah (Syurga), mereka kekal di dalamnya. (Surah Al-'Imran:
106-107)
Mereka yang telah memecah-belahkan dan
menjalani perbuatan yang memecah-belahkan, telah menghancurkan perasaan umat,
maka pada hari kiamat mereka akan bangkit dari kubur masing-masing dengan muka
yang hitam; mereka akan diberitahu bahawa kamu telah mengambil cara-cara orang
kafir setelah kamu dikurniakan dengan Iman dan Islam. Jadi, rasailah kamu di
sini azab neraka sepertimana telah kamu kufurkan. Dan mereka yang ikut jalan
yang betul, wajah-wajah mereka akan bercahaya dan berseri-seri. Untuk
selama-lamanya mereka akan berada di dalam rahmat Allah Ta'ala dan
syurga."
Saudara-saudaraku dan teman-temanku sekalian!
Kesemua ayat-ayat ini telah diturunkan pada masa orang-orang Yahudi telah cuba
untuk memecah-belahkan orang-orang Ansar dan menjadikan dua kabilah Ansar
bermusuhan antara satu sama lain. Di dalam ayat-ayat tersebut, perpecahan,
pergaduhan dan berperang antara satu sama lain di kalangan umat telah disifatkan
sebagai kufur dan telah diberi ancaman untuk azab di akhirat.
Pada hari ini di seluruh dunia telah berlaku
usaha untuk memecah-belahkan perasaan sebagai satu umat. Jalan penyelesaian dan
perkara yang boleh mengatasinya ialah hendaklah kamu menyibukkan diri kamu
sendiri dalam usaha Baginda Rasulullah s.a.w. Hendaklah kamu mengajak
orang-orang Islam ke masjid. Hidupkanlah perbincangan tentang iman. Dirikanlah
halqah Ta'lim dan Zikir. Bermesyuaratlah mengenai usaha agama. Telah terbukti
bahawa pelbagai kaum, keturunan dan manusia dari berbagai-bagai daerah dan yang
bercakap berbagai-bagai bahasa telah bersatu padu melalui amalan-amalan ini di
Masjid Nabawi.
Perasaan perpaduan umat akan hidup apabila
kamu akan mengelakkan diri dari perkara-perkara yang memberi peluang kepada
syaitan untuk memecah-belahkan kamu. Apabila tiga orang duduk bersama, maka
hendaklah kamu ingat bahawa yang keempat bersama kamu adalah Allah s.w.t.
Apabila ada empat atau lima orang duduk bersama, maka hendaklah kamu selalu
ingat bahawa Allah s.w.t bersama kamu sebagai yang kelima atau yang keenam; Dia
mendengar setiap perkataan kamu dan Dia melihat sama ada kamu berbincang untuk
perpaduan umat ataupun kamu memecahbelahkan umat. Adakah kamu sedang mengumpat
atau menghasut, atau membuat perancangan jahat untuk orang lain.
Umat ini telah dibentuk dengan tumpahan darah
Baginda Rasulullah s.a.w dan kelaparan Baginda s.a.w, sementara kita hari ini
memecahbelahkan umat atas perkara-perkara kita yang kecil. Ingatlah bahawa
meninggalkan solat Jumaat pun tidak akan datang begitu banyak keburukan seperti
yang berlaku akibat memecah-belahkan umat. Apabila akan datang perasaan
perpaduan umat di kalangan orang-orang Islam, maka tidak sekali-kali mereka akan
dihinakan di dunia ini. Kekuatan Russia dan Amerika juga akan tunduk di hadapan
mereka. Dan perasaan umat akan hanya datang apabila diamalkan atas
ayat:
Bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang
yang beriman.. (Surah al-Maidah: 54)
Yakni, setiap orang Islam disisi orang Islam
yang lain akan mengecilkan, merendahkan, dan menghinakan diri dan akan
berkelakuan lemah-lembut terhadapnya. Di dalam tabligh harus kita melatihkan
diri untuk perkara ini. Apabila akan datang sifat di kalangan orang-orang Islam,
maka di dunia mereka akan menjadi:
Maksudnya: ..berlaku tegas gagah terhadap
orang-orang kafir.. (Surah al-Maidah: 54)
Yakni, ia akan dimuliakan berbanding dengan
orang-orang kafir. Ia akan dikurniakan Allah s.w.t dengan kehebatan dan
kemenangan ke atas orang-orang kafir.