Segala puji bagi Allah pemelihara sekalian
alam. Selawat dan salam ke atas junjungan Rasul s.a.w, para sahabat r.anhum,
para tabiin rah. serta seluruh muslimin muslimat dan mukminin mukminat.
Alhamdulillah…berkat doa tuan-tuan dan dengan izin Allah swt serta rahmatnya ke
atas hambanya yang jahil lagi lemah ini, Allah swt telah pilih kami berlima
untuk keluar khuruj di jalan Allah di Pakistan. Saya dan Safri bertolak pada 20
Julai sementara Bukhari, Zuhairi dan Haniff pada 5hb Ogos. Dan tiga orang lagi
keluar selama 4 bulan- Sazali, Salehuddin dan Fakhrul.
Setibanya kami di Lahore Airport, empat orang
istiqbal (penyambut tetamu)
telah pun menunggu kami. MasyaAllah, mesranya mereka seperti sudah lama
berkenalan. Kami di bawa ke masjid yang berdekatan dengan airport dan pada
keesokan hari kami dibawa ke markaz ( juga sebuah masjid) di Raiwind. Kami mendapat laporan bahawa,
pada setiap hari di Raiwind, lebih kurang 7000 orang berada di masjid, 100-150
jemaah dibentuk untuk khuruj di jalan Allah pada setiap hari, Ditambah pula
dengan jemaah yang tidak putus-putus datang dan pergi. Kami berasa seolah-olah
berada di zaman sahabat r.anhum di mana amalan di dalam masjid, suasana dakwah,
ta’lim wa ta’lum
(belajar dan mengajar), zikir, ibadat dan khidmat
hidup selama 24 jam. Setiap hari selepas subuh kami mendengar bayan (ceramah) yang disampaikan oleh
Bhai Wahab dan kadang kala Maulana Jamsyik. Isi kandungan bayan tersebut cukup
merangsangkan kami untuk menjadikan dakwah sebagai maksud hidup kami.
Di
Raiwind, eldest (orang lama
dalam usaha dakwah) sangat menekankan maksud hidup kami iaitu sebagai khalifah
Allah, pewaris kerja kenabian dan pewaris Quran.
Pada setiap malam pula ketika bacaan kitab
hayatussahabah (kisah-kisah
sahabat r.anhum), Maulana Ihsan sangat menekankan solat tahajud di malam hari.
“Orang yang jadikan dakwah sebagai maksud hidupnya, dia tidak tidur malam tetapi
bertahajud.” Seorang Maulana berpesan, kalau kita nak pergi berjumpa dengan
sifulan pada keesokan hari, pada malam sebelum itu kita kena sebut nama sifulan
tersebut di dalam doa semasa tahajud. Bhai Wahab memberitahu bahawa semasa
Maulana Yusuf mahu membuat jaulah (ziarah orang ramai atas maksud agama), beliau akan beriktikaf di
masjid pada malamnya. Kita kena jumpa orang itu dengan penuh sangkaan baik,
tidak lihat keburukan orang dan kita kena rasa orang yang nak dijumpai itu
sangat berpotensi dalam usaha agama.
Tuan -tuan,
“Perkara IMAN adalah asas dalam kehidupan,
bila iman dan yakin kita betul, tidak ada apa-apa yang boleh terkesan dengan
hati kita. Tentera, harta, kerajaan dan semuanya yang lain tidak akan membawa
kesan kepda hati kita bilamana hati kita hanya ada Allah. Kita kena takut hanya
pada Allah dan ajak orang untuk takut pada Allah. Allah suci dari segala
keaiban, Allah cipta setiap perkara dengan kudratNya. Dialah zat yang mempunyai
ilmu yang sempurna. Lagi dan lagi kita kena dakwah kebesaran Allah sehingga ia
masuk dan berkubu dalam hati kita. Biar hati kita hanya ada Allah, hati kita
hanya akan berkata Allah, bila sakit datang kita akan ingat Allah, bila lapar
datang kita akan ingat Allah, bila susah datang kita akan ingat Allah. Kita kena
doa supaya Allah swt hidupkan suasana yang ada pada zaman sahabat dahulu pada
zaman sekarang…”
Banyak lagi penerangan eldest yang sempat saya
tulis. Hari keempat di markaz Raiwind, kami telah di ajak oleh dua orang ustaz
iaitu Ustaz Lokman dan Ustaz Abu Mustafa untuk khuruj bersama mereka. Kami akan
khuruj sebagai jemaah Nusrah
(jemaah yang membantu jemaah lain yang sedang khuruj). Kami akan nusrah (bantu) jemaah pedal (jemaah yang bergerak dengan
berjalan kaki dari satu masjid ke satu masjid dalam satu kawasan) yang keluar
selama setahun. Sebenarnya satu jemaah ulama seramai lapan orang telah dibentuk
dari Malaysia untuk khuruj selama setahun di India, Pakistan dan Bangladesh.
Mereka ialah Ustaz Azmi, Ustaz Hafiz, Ustaz Ismail, Ustaz Abdul Fatah, Ustaz
Lokman, dan Ustaz Abu Mustafa.