Husnul Khatimah, Jenazah tidak
Reput
Karguzari (laporan) ini seperti yang
diceritakan oleh Hj.Musa. Jenazah da'ie Allah ini adalah salah satu daripada
jenazah-jenazah yang telah dipindahkan setelah mendapat kebenaran daripada tuan
mufti atas permintaan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam usaha
pembinaan landasan keretapi laju Utara-Kuala Lumpur. (Gambar hiasan).
Hj.Musa menceritakan;
Jika kita membaca Alquran dan Hadis-hadis nabi
saw, kita akan berjumpa tentang berita-berita atau targhib tentang kemuliaan
orang-orang beriman yang berjihad di jalan Allah swt dengan diri dan harta
mereka yang mana mereka terbunuh atau syahid di Jalan Allah swt. Mereka ini
dijanjikan syurga yang penuh kenikmatan oleh Allah swt, di Padang Mahsyar nanti
mereka akan bangun di depan Allah swt dalam keadaan sebagaimana mereka syahid di
dunia, ada yang terpotong telinga, hidung, tangan, kaki dan ada yang luka
terburai keluar perutnya dan pelbagai keadaan. Mereka ini akan bangun di depan
Allah dalam keadaan luka mereka baharu sahaja berlaku, darah masih segar merah
lagi. Ada juga yang kita dengar ada orang menggali tanah untuk membangunkan
kawasan, yang mana mereka tidak tahu dibawahnya ada kubur Sahabat nabi saw yang
mati syahid terbunuh, bila sahaja mereka lihat mayat tersebut yang mana darah
merah masih segar keluar walaupun sudah lebih seribu tahun berlalu,
Allahuakbar.
Inilah kisah yang ingin aku paparkan untuk
renungan kita bersama. Nama orang dan tempat berlaku sengaja aku rahsiakan,
tetapi ini adalah kisah benar yang berlaku pada bulan Jun, 2010 yang
lepas.
Sekarang pihak Keretapi tanah Melayu sedang
membina landasan keretapi laju dari Utara ke Kuala Lumpur yang dijangka siap
pada tahun 2012 nanti, yang mana apabila ia beroperasi kelak, masa yang diambil
untuk perjalanan sehala dari Alor setar ke Kuala Lumpur hanya 3 jam sahaja.
Dalam membina landasan keretapi baru ini banyaklah tanah, rumah, kedai kepunyaan
rakyat diambil dan dibayar pampasan yang berpatutan oleh kerajaan yang
dipeesetujui bersama. Sistem landasan keretapi mana-mana negara pun agak pelik
kerana apabila landasan yang dibina ini melalui sungai atau tasik, maka akan
dibinakan jambatan, bila ia merentas banjaran atau gunung ia tidak akan
melencong tetapi sebaliknya akan mengorek bukit atau gunung menjadi terowong.
Pendek kata, apa sahaja yang ia jumpa dihadapannya, ia tidak akan melencong
sebaliknya benda dihadapan itulah yang kena berubah. (macam orang dakwah juga,
apa sahaja halangan datang.. jangan elak diri tapi terus maju macam k/api).
Perkara yang sama juga berlaku apabila landasan baru ini merentasi satu kawasan
surau dan tanah perkuburan. Kubur ini akan dipindahkan ke tempat yang baru.
Untuk mengubah kubur ini mesti mendapat persetujuan Tuan Mufti dan dibawah
pengawasan pihak Polis. Tarikh pemindahan kubur ini telah ditetapkan. Mufti
mengarahkan untuk setiap kubur hanya seorang atau dua orang waris sahaja
dibenarkan untuk mengangkat atau melihat jenazah yang akan dipindahkan. Seluruh
kawasan di kelilingi dengan pembatas dan dikawal oleh anggota polis. Hanya orang
berkenaan sahaja dibenarkan memasuki kawasan tanah perkuburan tersebut.
Penggalian disaksikan oleh Tuan mufti dan beberapa pegawai agama lain serta
Pegawai Polis.
Tersebut kisah seorang wanita yang mana kubur
suaminya juga termasuk senarai yang dipindahkan. Suaminya meninggal dunia 3
tahun lepas akibat sakit barah hati. Dia tidak mempunyai waris yang terdekat dan
dia telah memohon kepada mufti supaya warisnya diganti dengan sahabat baik
suaminya, tetapi tidak dibenarkan oleh mufti. Wanita ini merayu lagi katanya
sahabat suaminya ini memang baik dengan allahyarham semasa dia sihat atau sakit
dan bila meninggal dunia, dialah juga yang mengurus jenazah suaminya. Mendengar
rayuan ini, mufti membenarkannya. Kedua-dua mereka, allahyarham dan sahabatnya
merupakan kawan baik aku juga.
Beginilah ceritanya, setelah kubur dikorek,
alangkah terkejutnya sahabat aku ini bila melihat kain kafan yang menutup
allahyarham masih elok, tidak reput walaupun sudah 3 tahun berlalu. Bila tiba
masa untuk mengangkat jenazahnya, tuan mufti mengarahkan supaya sehelai kain
baru dibalut lagi dan melarang supaya jangan dibuka wajahnya (ikut syariat).
Setelah siap dibalut dan bila sahaja sahabat aku dan beberapa orang lagi
mengangkat jenazahnya, alangkah terkejutnya dia, dipegangnya tangan, masih lagi
rasa tangan tidak reput, dipegangnya punggung, masih rasa ketulan punggung dan
tidak reput. Badannya juga masih badan biasa, sama saperti jenazah yang baru
dikebumikan semalam sahaja. Sahabat aku masa itu merasa bagai nak jatuh kerana
terkejut. Wanita ini apabila melihat keadaan suaminya yang sedemikian terus
menangis dan menangis sehingga jatuh terduduk. Selepas selesai kerja pemindahan,
tuan mufti bertanya kepada sahabat aku, siapakah arwah tersebut dan tambahnya
lagi ini adalah tanda dia adalah ahli syurga. Dahulu semasa pengkebumian
jenazahnya pun semua orang yang hadir mengatakan kuburnya mengeluarkan wangian
yang harum. Selepas peristiwa ini, sahabatku berkata selama 2 hari dia tidak
dapat tidur malam kerana teringat peristiwa tersebut.
Berbalik kepada kisah wanita ini, sahabat aku
bertanya mengapa ia menangis, katanya: “Kakak menangis sebab menyesal dan rasa
berdosa sebab dahulu semasa arwah masih hidup dan sihat, kakak selalu marah dan
menghalang dia daripada keluar ikut dakwah tabligh, tapi dia keluar juga
walaupun kakak marah.”
Allahyarham dahulu semasa hayatnya bekerja
dalam satu jabatan kerajaan. Allahyarham di jabatan atau pejabatnya memanglah
seorang yang dikenali di semua peringkat, dari ketua atasan sehinggalah pencuci
lantai pejabat semua mengenalinya. Dia peramah, suka ketawa dan senyum dan
menyapa kepada semua orang. Tetapi masa itu allahyarham masih tidak menumpukan
kepada amal-amal agama. Sikapnya mula berubah apabila dia telah mula mengikuti
dakwah tabligh 3 hari yang pertama kali. Dia telah mula mendekati dirinya pada
Allah dan bertaubat nasuha. Semua perangai lamanya telah dibuang terus dalam
hidupnya. Kehidupannya kini mula tenang dan dia telah belajar dan beramal dengan
penuh tekun setiap perintah Allah swt mengikut sunnah nabi saw. Dia yakin,
inilah satu usaha kenabian yang dapat merubah kehidupan seseorang kepada satu
kehidupan beragama yang diredhai oleh Allah swt. Kemudian dia mengambil cuti
tanpa gaji dan ikut keluar lagi 40 hari walau pun dalam keadaan isterinya marah
dan tidak berapa suka dia keluar khuruj berdakwah. Selepas beberapa tahun
berikutnya, dipohon pula cuti tanpa gaji selama 4 bulan dan diluluskan cutinya
untuk keluar 4 bulan di India, Pakistan dan Bangladesh.
Setelah pulang dari khuruj 4 bulan,
allahyarham telah menerima surat pemberhentian kerja oleh jabatannya dengan
alasan yang tidak munasabah. Tetapi allahyarham redha dan pasrah dengan takdir
Ilahi, dia tidak mengambil apa-apa tindakan undang-undang untuk membela diri.
Allahyarham mencari rezeki, memelihara anak dan isterinya dengan memulakan
perniagaan kecil-kecilan, berniaga air minuman dan jual kueh muih ditepi taman
rumahnya. Usaha dakwah tidak ditinggalkanya, terus aktif membuat usaha di
kampungnya setiap hari bersama sahabat baiknya tadi. Keadaan ini berlalu
sehingga beberapa tahun, sehinggalah satu masa ketika allahyarham dan sahabat
aku ini sedang minum teh tarik disebuah warung, ia disapa oleh seorang lelaki
Cina. “Hai awak sudah jadi ustaz kah sekarang?” Dengan penuh kegembiraaan,
allahyarham menyambut lelaki cina ini yang merupakan kawan baiknya dahulu.
Mereka saling bertanya khabar dan setelah memberitahu hal yang sebenar bagaimana
dia telah dipecat, kawan Cina berkata dia akan mengambil kes ini dan akan
membawa ke mahkamah tanpa mengambil apa-apa bayaran upah kepada allahyarham.
Kawannya ini dahulu bekerja sepejabat dengannya, tetapi sudah berhenti dan
menjadi peguam. Masa itu jugalah kawan cina ini menghulurkan kepadanya duit
sebanyak RM2000. Diringkaskan cerita, kesnya yang dibawa ke mahkamah telah
dimenangi oleh allahyarham.Beliau telah mendapat bayaran balik beratus ribu
ringgit oleh kerajaan dan kerja/ jawatannya pula disambungkan semula. Dengan
wang tersebut, allahyarham telah mendaftar untuk mengerjakan fardhu haji bersama
isterinya. Selang beberapa lama, Tabung Haji telah mengeluarkan surat yang
mereka berdua akan berangkat ke Mekah pada tahun itu juga.
Kita merancang, Allah juga yang menentukan
semuanya dan ketetapan Allah pasti akan berlaku sebagaimana kehendakNya. Sebelum
berangkat ke Tanah Suci Mekah, allayarham telah diserang penyakit barah hati dan
meninggal dunia. Semoga Allah mencucuri rahmatnya kepada allahyarham dan
meletakkan dia bersama para syuhada dan solihin, amiin.
Kita yang hidup ini, masih belum tahu nasib
kita bagaimana. Adakah akhir kalam kita dalam keadaan husnul khotimah? Oleh itu,
marilah kita terus berusaha untuk memperbaiki diri dan menguatkan iman dan amal
kita mengikut perintah Allah swt dengan cara ditunjuki oleh Nabi saw.
?
Karguzari bersumber daripada Hj.Musa di
caponenkolakedah.blogspot.com. Semoga kita dapat mengambil iktibar. Wallahu
a'lam.
Karguzari yang masih tersemat dalam ingatan,
adalah berkenaan salah seorang jemaah 4 bulan tempatan yang meninggal dunia di
moharlah, matinya dalam keadaan posisi tidur sunnah, tasbih ditangan dan setelah
allahyarham berqiamullail. Akan berkongsi karguzari ini di kemudian hari,
Insya'Allah.