Suhbat Bersama Maulana In’amul Hassan Kandahlawi rah.
Seewaktu kuliah Syeikh Nuruddin Al-Banjari
Al-Makki pada Ramadhon yang lalu, beliau ada menyentuh mengenai kemulian Maulana
In’amul Hassan rah (Amir
ketiga Jemaah Tabligh). Antaranya beliau berkata bahawa Maulana In’amul Hassan ini adalah termasuk seorang
yang sentiasa berzikir sehingga zikir harian beliau mencecah 70,000 sehari
semalam. Juga kata beliau bahawa sewaktu beliau dilantik menjadi syura (kata
Syeikh yang bermaksud Amir /Hadrat ji Jemaah Tabligh) orang yang memutuskan
siapakah yang akan menjadi amir ketika itu ( Maulana Zakaria rah) memerintahkan
setiap orang yang ada di dalam majlis berkenaan keluar melainkan dia yang pernah
melihat malaikat. Akhirnya semua keluar yang tinggal hanyalah Maulana
In’anamul Hassan rah. Beliau
menangis terisak-isak kerana rahsia beliau selama ini telah terbocor. Kisah ini
beliau mendengar dari Syeikh Abdul Wahab, Amir Pakistan. (Mungkin ketika beliau
hadir di Ijtimak Indonesia baru-baru ini)
Maulana In’amul Hassan, Amir kedua Jemaah Tabligh
ini adalah seorang yang sangat alim khusus di dalam bidang hadis.Beliau
mempelajari ilmu agama dari beberapa orang ulama terkenal di India juga khusus
dari ulama di kalangan keluarga sendiri. Beliau termasuk seorang ulama besar
India yang oleh Syeikhul Hind (Maulana Mahmudul Hasan rah) dijuluki sebagai
“Gudang Mufti” Beliau juga termasuk salah seorang guru kepada Sayyid Muhammad
Alawi Al Maliki, Makkah (Al’Iqdul Farid: 16).
Sebenarnya amir-amir Jemaah Tabligh, kesemua
mereka adalah dari keturunan Abu Bakar r.a yang silsilah keturunan mereka ini
dijagai sehingga sekarang. Kalau kita membaca biography keturunan mereka, kita
akan dapati bahawa perkahwinan mereka adalah di dalam lingkungan keluarga
terdekat demi menjaga silsilah keturunan tersebut.
Seperti mana kita bertanya kepada orang-orang
keturunan India yang lahir dan tinggal di Malaysia, “Kamu orang mana?”. Pasti
dia akan menjawab,”Saya orang Malaysia.” Yang sebetulnya dia orang Malaysia
tetapi keturunan India. Begitu juga dengan keluarga amir-amir Jemaah Tabligh
ini, mereka adalah orang India tetapi berketurunan Arab dari rumpun Abu Bakar
r.a.
Pada tahun 1991, aku diberi kesempatan
mengerjakan haji dan pada tahun yang sama ramai elders dari India, Pakistan dan
Bangladesh ikut mengerjakan haji. Maulana In’amul Hassan juga datang mengerjakan haji
beserta dengan beberapa orang dari Markaz Nizamuddin India. Ketika berada di
Madinah, kami beberapa kali dijemput untuk mendengar nasihat dari ulama-ulama
ini. Sewaktu berada di sebelah kiri kuburan Nabi saw, aku dapati Maulana
In’anul Hassan di tolak
masuk di atas kerusi roda dari pintu Bab Al-Nisak yang sememangnya dibuka untuk
semua jemaah masuk. Ketika di tolak masuk ke dalam Masjid oleh pembantu beliau,
aku dapati semua ahli jemaah mengelak memberi laluan kepada beliau. Wajah beliau
yang begitu berseri-seri menjadi tarikan ribuan jemaah dari berbagai negara
ketika itu. Mereka berebut-rebut untuk bersalaman dengan beliau namun dilarang
berbuat demikian disebabkan kesihatan beliau yang tidak mengizinkan.
Setelah memberi salam kepada Rasulullah di
kuburan, beliau akan bersolat sunat dan duduk beberapa lama menunggu solat. Kami
mengambil kesempatan untuk berada bersama-sama beliau. Beberapa orang-orang Arab
yang tidak mengenali beliau bertanya kepada aku siapakah syeikh berkenaan. Aku
memberitahu mereka bahawa beliau adalah seorang ulama dari India. Biasalah tidak
ramai orang mengenali ulama-ulama Jemaah Tabligh kerana Jemaah ini tidak ada
akhbar, pamplet ,Brochures dan lain-lain. Selain itu mereka-mereka ini tidak
dijemput untuk menghadiri sebarang seminar melainkan Maulana Abul Hassan Ali
Nadwi rah.
Sewaktu Ijtimak Raivind, Pakistan, Maulana
In’amul Hassan hadir pada
hari akhir untuk berdoa. Ramai saudara-saudara Arab tidak pernah melihat dan
mendekati beliau. Mereka hanya biasa dengan ulama-ulama di Markaz Raivind di
Pakistan sahaja. Namun apabila mereka terpandang sahaja Maulana In’amul Hassan mereka seperti separuh gila.
Apa tidaknya wajah beliau begitu bercahaya menjadi tarikan sesiapa sahaja yang
melihat beliau. Betul-betul dihadapan aku beberapa orang saudara dari Negara
Arab ini seperti separuh gila cuba meluru mendapatkan Maulana namun mereka
dihalangan oleh petugas sekuriti sambil mententeramkan keadaan.
Setelah Maulana menaiki kenderaan, ada yang
cuba bergayut pada kenderaan tersebut. Begini keadaan gelagat mereka di kalangan
saudara Arab yang tidak pernah melihat maulana dengan wajah yang begitu
bercahaya. Ada seorang ahli jemaah dari U.S yang datang ke Markas Nizamuddin,
India. Beliau seorang yang berkulit hitam dengan badan sasa yang cukup cekap di
dalam seni mempertahankan diri, menceritakan, “ Aku tak pernah takut dengan
sesiapa pun walaupun ia lebih besar dari aku. Pasti aku akan lawan. Namun
setelah aku melihat Maulana In’amul Hassan, wallahi! aku terkencing.” Cerita beliau ketika waktu
rehat di Markaz Nizamuddin, India. Bayangkanlah bagaimana kehebatan
sahabat-sahabat Nabi khususnya Umar r.a yang menjadi ketakutan pada musuh hanya
sekadar mendengar nama sahaja.
Pada tahun 1992 aku diizinkan tuhan untuk
keluar lagi di India. Pada cillah (40 hari ke tiga) akhir, aku terkepung di
Markaz Nizamuddin disebabkan Delhi diistiharkan curfew selama seminggu. Ianya
adalah kerana Masjid Babri di Ayodoya diruntuhkan oleh fanatik-fanatik Hindu.
Kebiasaanya sesaorang itu akan berada hanya 3 hari sahaja dan akan dihantar
keluar di route yang diputuskan. Namun disebabkan curfew, maka kami tinggal
hampir seminggu di Markaz Nizamuddin.
Ketika ini aku dan teman aku yang sedang
belajar di Shaharanpur juga ikut terkepung. kami mengambil kesempatan ini untuk
berada bersama Maulana In’amul Hassan setiap hari selepas solat Asar untuk duduk berzikir
bersama beliau. Belum pernah aku merasai kelazatan berzikir sepanjang hidup aku
sehingga kini melainkan ketika berzikir bersama beliau. Sedangkan ketika itu aku
hanya berzikir dengan zikir biasa sahaja iaitu tasbih, selawat dan istighfar,
namun ianya terasa begitu khusyuk sekali. Mungkin kerana aku berada bersama
beliau serta kesan zikir beliau tertempias kepada aku. Ini sebagaimana yang
telah diterangkan oleh Maulana Zakaria rah di dalam kitab beliau Fadhilat Zikir
yang mana terkadang-kadang kesan zikir dari sesaorang yang dekat dengan Allah
akan memberi kesan kepada sesiapa sahaja yang berada berdekatan
beliau.
Aku melihat beliau sentiasa berzikir dengan
mulut beliau berkumat- kamit. Beliau tidak memegang sebarang biji tasbih namun
kedua-dua belah tangan kanan dan kiri digunakan untuk berzikir. Ibu jari dan
jari telunjuk akan sentiasa bergerak-gerak seperti kita mengira biji tasbih.
Jika sesiapa yang datang menjumpai beliau beliau akan melayani namun jari-jari
tangan tadi tetap akan bergerak. Sepanjang kami berzikir di dalam bilik Maulana
In’amul Hassan tidak ada
orang lain hanya aku, teman aku dan satu dua lagi maulana yang aku tidak kenali.
Di hujung-hujung masa iaitu sekitar 5,6 hari barulah waktu curfew itu ditarik
balek oleh pemerintah. Aku lihat ramai tetamu yang datang dari jauh dan bertemu
dengan Maulana. Rupanya waktu itu adalah waktu mesyuarat syura-syura seluroh
India, Pakistan dan juga Bangladesh. Kami mengambil menafaat dari mesyuarat
berkenaan untuk mendengar nasihat dari beberapa elders yang datang. Ini
termasuklah nasihat dari Maulana In’amul Hassan sendiri.Nasihat dari Maulana Umar Palampuri, Maulana
Said Ahmad Khan dan juga Haji Abd Wahab. Kesemua nasihat mereka cukup memberi
kesan kepada kami.
Aku dan teman penah bertanya kepada Maulana
Mustaqim sewaktu makan bersama beliau di Markaz Raivind, Pakistan, “Mengapa
kulit Maulana In’amul Hassan
putih begitu? Jawab beliau, “ Maulana In’amul Hassan terkena serpihan sihir. Kata Maulana Mustaqim lagi, “
Kulit Maulana yang sebenar hanya kamu boleh lihat sewaktu beliau memejamkan mata
iaitu kulit di atas kelopak matanya sahaja warna kulit asal beliau.” Tambahnya
lagi,” Jika beliau lalai sahaja dari berzikir pasti beliau akan terkena sihir
yang dihantar oleh gulongan Hindu dan juga gulongan “Brelwey” (Grave
worshipper).
Mungkin ada orang berkata bahawa aku terlalu
fanatik dengan Maulana In’amul Hassanh namun aku berani bersumpah bahwa aku tidak berani
menatap mata beliau. Kalau beliau memandang kepada aku pasti aku akan menundukan
mata aku ke bawah. Apabila beliau melihat ketempat lain barulah aku akan menatap
wajah beliau. Ini adalah kerana kehebatan yang ada pada beliau serta wajahnya
yang cukup bercahaya. Saat paling aku merasa takut adalah saat seorang India
tiba-tiba datang meluru kepada beliau. Entah macam mana orang India ini boleh
lepas tiga kawalan sekuriti. Beliau tiba-tiba menengking lalu orang India itu
lari keluar dengan ketakutan. Kata kawan aku ramai orang India yang cuba
loloskan diri masuk khususnya yang berfahaman ‘brelwey’ yang kekadang untuk melepaskan
sihir.
Pengalaman suhbat bersama beliau benar-benar
memberi kesan yang mendalam di dalam jiwa aku yang cukup sukar untuk dilupakan.
Apa lagi ketika itu berpeluang berbaiat dengan beliau. Isteri aku yang keluar
masturat pada tahun 1990 juga berpeluang tinggal di rumah isteri beliau untuk
selama 3 hari. Wanita ketika itu juga berpeluang bebaiat dengan beliau. Ianya
juga memberi kesan yang mendalam di dalam jiwa.
P/s : Bukanlah maksud aku untuk menggangkat
elders Jemaah Tabligh atau bersikap ‘ghulu’ terhadap
Maulana Jemaah Tabligh. Namun apabila Syeikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki
menceritakan demikian maka aku terpanggil untuk meceritakan juga pengalaman yang
aku pernah tempuhi.